Kurang 12 jam daripada waktu artikel "Nukilan Seorang Mahasiswa: Teka-Teki PRK 2011/2012" ditulis dan dipaparkan di blog ini, saya mendapat makluman daripada blog rasmi rakan-rakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkenaan tarikh pilihan raya kampus untuk varsiti mereka. Ini merupakan perkembangan yang amat memberangsangkan kerana walaupun pihak UiTM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Pilihanraya Kampus, tarikh-tarikh yang tercatat di bawah ini dapat dijadikan panduan kepada calon dan jentera calon yang bertanding kerana secara kebiasaan pilihanraya kampus di Lembah Klang dijalankan hampir serentak.
Berikut adalah ketetapan yang telah dibuat oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengikut universiti:
1. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
2. Universiti Putra Malaysia (UPM)
Tarikh penamaan calon : 17 Februari 2011
Tarikh pilihanraya : 21 Februari 2011
Berdasarkan kepada ruang masa yang amat rapat antara UIAM dan UPM, serta kenyataan di blog UPM iaitu "pada tahun ini Pilihan Raya Kampus dijangka akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kampus bagi IPT-IPT yang lain." maka dapat disimpulkan bahawa tarikh pilihanraya kampus untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkemungkinan besar akan diadakan pada tarikh yang sama dengan UPM.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM akan bermesyuarat hari ini (9 Februari 2011) untuk mencapai kata sepakat bagi menentukan tarikh sebenar PRK UiTM.
Sama-sama kita nantikan keputusan mesyuarat tersebut.


No comments:
Post a Comment