Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun...
Izinkan patik, pacal yang hina ini untuk merakamkan semula wasiat yang dimaktubkan oleh Paduka Tuanku sekalian semasa penyusunan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada tarikh keramat 5 Ogos 1957 itu. Semoga dapat diambil iktibar, dijadikan panduan serta peringatan kepada rakyat jelata sekalian terutamanya mahasiswa-mahasiswi bangsa kerana kami sesungguhnya tidak mahu menggadaikan maruah bangsa dan tanah air ini.
Bangsaku sekalian,
Hayatilah wasiat ini, wasiat keramat, wasiat yang dimaktubkan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu demi kelangsungan bangsa sehingga akhir zaman. Sama-samalah kita jadikan wasiat ini sebagai pedoman demi memartabatkan kemuliaan bangsa dan negara yang amat kita cintai ini. Jangan biarkan anak cucu kita merempat di tanah air kita sendiri akibat kelalaian kita dalam perjuangan yang masih belum selesai.
"Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya salama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera”
Pertama : Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang dipijak dan langit yang kamu junjung. Persekutuan Tanah Melayu ( sekarang MALAYSIA).
Kedua : Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytiharkan dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
Ketiga : Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta milik kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara ini.
Keempat : Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini.
Kelima : Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan.
Keenam : Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU.
Ketujuh : Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

No comments:
Post a Comment