Kronologi perjumpaan bersama sahabat seperjuangan saya, YM Raja Shahrul Nizam (mantan Timbalan Presiden CASS 2009/2010) dan Alif Farhan (mantan YDP MPP Kolej Shahputra), panggilan telefon daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM serta perjumpaan susulan bersama Saudara Khairul Buruhan (mantan YDP MPP UiTM Dungun) dan Saudara Asrul (mantan Presiden CASS 2008/2009) pada hari ini (28 Januari 2011) seolah-olah bagaikan satu kebetulan yang tepat untuk saya memulakan coretan pertama di blog ini.
Hasil sesi percambahan idea dan manifestasi isu politik kampus sebentar tadi, maka saya terpanggil untuk menggunakan platform Majlis Perjumpaan Dekan Tahun 2011 yang bakal diadakan pada 10 Februari akan datang untuk mengenengahkan isu fakulti dan mahasiswa. Program itu juga sebenarnya memberi kesempatan terbaik buat saya yang bakal bertanding untuk kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2011/2012 meraih sokongan padu daripada mahasiswa serta mahasiswi fakulti. Hakikatnya, memang mudah untuk berdiri di Dewan Sri Budiman kelak untuk melontarkan pandangan, idea serta saranan kepada pihak pengurusan tertinggi fakulti untuk diambil tindakan, namun yang menjadi konotasinya sekarang adalah untuk mendapatkan idea yang terbaik untuk diutarakan semasa perjumpaan kelak.
Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mencoretkan terlebih dahulu apa jua yang terlintas di fikiran supaya pada akhirnya dapat saya susun, saya ikat kemas dan saya utarakan semasa perjumpaan tersebut.
Antara lain, pandangan saya adalah:
Isu 1 : Transformasi Fakulti Selaras Kemasukan Pelajar Semester 1 & 2
Bermula sesi pengambilan Julai 2010, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) mula menerima kemasukan pelajar baru semester 1 dan 2 dari lepasan STPM, Matrikulasi serta Asasi Undang-Undang. Namun, kami sebagai pelajar melihat bahawa fakulti seperti tiada inisiatif untuk membolehkan para pelajar ini mengenali dengan lebih mendalam apa yang dimanifestasikan dengan selok belok Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi. Apa pandangan Yang Berbahagia Dekan dalam hal ini?
Isu 2: Fakulti Tiada Aktiviti atau Tokoh "TradeMark"
Kita semua di UiTM Shah Alam telah sedia maklum bahawa hanya kita dan sebilangan kecil warga luar fakulti yang mengenali fakulti ini. Itu pun mereka mengenalinya dengan nama "Polisi". Jika diimbau sejarah penubuhan fakulti, kita pernah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Fakulti Undang-Undang yang kini sudah bagaikan langit dengan bumi. Hasil analisa yang dilakukan, antara faktor yang menyebabkan fakulti kurang dikenali adalah disebabkan fakulti tidak mempunyai signature's event yang established di peringkat pusat. Jika adapun hanyalah KSN Annual Lecture, itu pun pada tahun lepas dilaksanakan secara tertutup dan dilaksanakan di luar UiTM. Andai Fakulti Sukan dan Rekreasi terkenal dengan Datuk Sharifah Mazlina nya yang berjaya menawan dua kutub, Fakulti Undang-Undang yang berjaya memenangi pertandingan Moot Court di peringkat dunia dan Yuna, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dengan Awal Ashaari dan Farah Fauzana, apa pula tindakan daripada pihak pengurusan fakulti untuk mempopularkan fakulti ini. Kami tidaklah mahu mengejar populariti murahan, namun walaupun tidak mampu berdiri sama tinggi dengan Fakulti Kejuruteraan atau Fakulti Undang-Undang, sekurang-kurangnya di gugusan Blok Akademik 3 ini, sekurang-kurangnya kita mampu duduk sama rendah dengan dua fakulti yang bersebelahan.
Isu 3: Laman Web Fakulti ibarat "hidup segan, mati tak mahu"
Antara cerminan awal kepada sesuatu entiti organisasi adalah paparan laman web yang sistematik dan sentiasa dikemas kini. Namun, apa yang mengecewakan kami sebagai pelajar adalah kandungan laman web fakulti yang kurang dikemaskini dan tidak memaparkan perkembangan aktiviti pelajar yang terbaru di fakulti seperti mana yang dapat dilihat di ruangan Student Activities (tahun 2010 pun masih under maintenance, ejaan pula tidak melambangkan profesionalisme, yang terkini tahun 2008). Boleh pihak Yang Berbahagia Dekan jelaskan siapakah yang bertanggungjawab untuk memantau laman web fakulti, siapakah WebMaster nya dan apakah jaminan fakulti untuk memastikan bahawa masalah ini tidak berulang pada masa akan datang?
Isu 4: Polisi Fakulti Terhadap Penganjuran Aktiviti Pelajar
Adakah pihak fakulti mempunyai kekangan terhadap penganjuran aktiviti pelajar yang berteraskan pengucapan awam, debat, pidato serta keusahawanan? (aktiviti-aktiviti seperti ini pada hemat saya lebih membentuk para mahasiswa untuk berdiri sebagai seorang yang memiliki ilmu serta pengetahuan Sains Pentadbiran dan Pentadbiran Korporat)
Isu 5: Seriuskah Fakulti Mahu Mencapai Quality Objective nya?
Tidak dinafikan bahawa pihak fakulti amat menitik beratkan pencapaian para mahasiswa dalam bidang akademik sebagaimana yang digariskan dalam Quality Objective Fakulti. Namun hakikat yang kita semua harus akui, tidak semua mahasiswa yang cemerlang pencapaian akademiknya. Oleh yang demikian, adakah memadai dari kaca mata pihak fakulti menerusi penganjuran program KACA sahaja mampu untuk menganjak paradigma para pelajar yang sederhana pencapaian akademiknya untuk lebih berusaha gigih memantapkan pencapaian akademik mereka? Adakah pihak fakulti mengambil tindakan susulan selepas program sehari suntuk tersebut untuk memastikan para pelajar ini dapat meningkatkan semula pencapaian akademik mereka?
Isu 6: Kebajikan Pelajar Non-Resident (NR)
Jumlah pelajar di fakulti sekarang ini telah menjangkau angka 900 pelajar. Dan, lebih separuh daripada jumlah pelajar ini adalah pelajar Non-Resident. Namun, saya selaku wakil pelajar NR di fakulti (jawatan saya kini adalah sebagai Sekretariat Penempatan dan Non-Resident, SMF) melihat seolah-olah pihak fakulti langsung tidak mengambil endah terhadap kebajikan para pelajar NR. Para pelajar NR bagaikan tiada tempat untuk mengadu apabila mempunyai masalah seperti kecurian, kemalangan dan sebagainya. Oleh yang demikian, izinkan saya bertanya, apakah langkah-langkah yang telah pihak fakulti susun untuk membantu dan menjamin hak serta kebajikan para pelajar NR? Adakah pelajar NR hanya dianggap sebagai pelajar semata-mata dan hanya dilayan semahunya?
Isu 7: Koperasi Fakulti... Apa Sudah Jadi?
Sepanjang tahun lepas, segelintir mahasiswa di fakulti sudah mendengar ura-ura bakal diwujudkan Koperasi Fakulti yang menyediakan perkhidmatan fotostat, printing, binding, laminating dan sebagainya untuk kemudahan para pelajar. Boleh pihak pengurusan terangkan sejauh mana perancangan itu berjalan dan adakah ia bakal direalisasikan dalam jangka masa terdekat?
No comments:
Post a Comment