Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wbt., salam perpaduan, salam perjuangan, salam 1 Malaysia. Rakan-rakan yang disayangi, terima kasih kerana memberikan peluang kepada saya pada hari ini untuk berdiri di hadapan anda bukan untuk mencari populariti atau publisiti, tetapi untuk memperkenalkan diri kepada anda semua kerana saya percaya, “tidak kenal maka tak cinta, tak cinta maka tak sayang..”
Rakan-rakan sekalian,
Sebagaimana yang telah diperkenalkan oleh sahabat saya sebentar tadi, saya Mohd Amirul Ashraf bin Mazli adalah calon anda untuk kerusi Majlis Perwakilan Pelajar bagi kerusi Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) bagi sesi 2011/2012. Kini, saya adalah pelajar semester 6 Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat (BCA). Mungkin ada di antara anda tertanya-tanya, mengapa seorang mahasiswa seperti saya yang telah pun berada di penghujung pembelajaran menawarkan diri untuk bertanding? Tentu ada rasional di sebaliknya.
Di sini ingin saya tegaskan, saya bertanding bukan atas tiket kepentingan diri. Jika melibatkan kepentingan diri, lebih baik saya fokus kepada pelajaran daripada bertanding kerana bagi diri setiap mahasiswa, tentulah akademik itu perkara asas yang perlu diberi lebih perhatian. Oleh itu, kenapa saya bertanding? Jika rakan-rakan melawat ke Facebook peribadi saya ataupun pamplet yang jentera saya edarkan, saya percaya rakan-rakan akan melihat apa yang saya namakan sebagai Ikrar Diri. Di situ, secara jelas saya katakan niat utama saya untuk bertanding adalah untuk melihat kelangsungan politik yang terpimpin di kalangan mahasiswa fakulti dan untuk meneruskan agenda perjuangan yang belum selesai.
Rakan-rakan yang dihormati,
Seorang tokoh bangsa iaitu HAMKA pernah berpesan “yang semulia-mulia kewajipan bersahabat ialah supaya engkau ketahui kehendak dan kemahuan sahabatmu sebelum dikatakannya. Dan engkau perkenankan permintaannya sebelum dimintanya”. Saya hadir di sini adalah untuk bersahabat dengan anda semua. Dek kerana itu, saya jadikan kata-kata HAMKA tersebut sebagai pegangan. Persoalan pokok di sini adalah, bagaimana saya mengetahui kehendak mahasiswa?
Rakan-rakan sekalian, saya telah berkecimpung dalam realiti pengurusan di fakulti ini telah lama, iaitu sejak saya di semester 4. Kemudian, pada semester lepas, saya diangkat sebagai Pengerusi Sekretariat NR UiTM Shah Alam bagi memantau sistem perwakilan pelajar NR. Dari situ, saya kumpulkan pengalaman dan saya kaji apa sebenarnya kemahuan mahasiswa dari segenap sudut untuk saya perjuangkan, untuk saya ketengahkan kepada pihak pengurusan fakulti mahupun universiti. Segala penemuan saya itulah yang telah saya rangkum sebagai manifesto saya sebagaimana yang ada di tangan anda sekarang.
Dalam mendepani permasalahan yang berlaku dalam dunia mahasiswa masa kini, para pelajar harus memilih wakil yang bukan baru mahu bertatih mencari dan menimba pengalaman kerana tempoh perkhidmatan MPP pada kali ini amat singkat, iaitu sekitar lapan (8) bulan sahaja. Justeru itu, kita perlukan pemimpin yang benar-benar bersedia dengan segala pengalaman yang ada untuk mengatur strategi, mengatur gerak kerja demi kemaslahatan mahasiswa. Pemimpin yang bakal diangkat perlu tahu selok belok pengurusan fakulti dan universiti secara jelas kerana isu mahasiswa tidak boleh ditangguh-tangguhkan lagi, jika tidak kita sendiri yang pasti menggigit jari!
Rakan-rakan yang dikasihi,
Manifesto saya secara dasarnya terdiri daripada dua bahagian iaitu untuk universiti dan untuk fakulti. Saya tahu, saya bagaikan menongkah arus kerana secara kebiasaan, manifesto dirangka hanya untuk kepentingan fakulti. Saya melihat perkara ini harus diperbetulkan kerana manifesto bukan dirangka untuk meraih undi, tetapi sebagai satu bentuk komitmen oleh MPP yang bakal dipilih oleh suara demokrasi mahasiswa. Bagi saya secara peribadi, selain daripada faktor pengalaman, saya yang pernah berada di tempat anda pada sesi pemilihan yang lepas mahukan wakil yang mempunyai wawasan serta komitmen yang bukan sahaja terhad kepada fakulti, tetapi juga untuk universiti. Pemimpin inilah yang perlu kita pilih kerana MPP sebagai benteng awal kepada UiTM harus tahu apa prinsip perjuangan UiTM, apa masalah yang dihadapi oleh mahasiswa UiTM dan apa saluran atau mekanisme yang perlu digunakan untuk menyelesaikan polemik tersebut.
Untuk fakulti, saya ingin petik kata-kata seorang ahli falsafah Islam yang bernama Bediuzzaman Said Mursi. Beliau pernah berkata, “kebersamaan dalam suatu masyarakat menghasilkan ketenangan dalam segala kegiatan masyarakat itu, sedangkan saling bermusuhan menyebabkan seluruh kegiatan itu musnah”. Di sini adalah jelas bahawa kebersamaan itu penting. Tetapi, bagaimana untuk mencapai kebersamaan seandainya permasalahan dalaman di fakulti masih wujud. Bukan niat saya untuk mendedahkan segala kelompangan-kelompangan di fakulti yang amat saya cintai ini, tetapi demi prinsip perjuangan mahasiswa, saya harus berani ke hadapan, menyelesaikan isu-isu tertunggak di fakulti agar hasrat mahasiswa cemerlang, pengurusan gemilang, fakulti terbilang dapat direalisasikan. Dek kerana itu, saya ketengahkan kepada anda lima (5) konotasi khas yang perlu diselesaikan sebelum fakulti kita mampu berdiri sama gah dengan fakulti-fakulti hebat di UiTM seperti Kejuruteraan, Undang-Undang dan Perniagaan.
Rakan-rakan yang disanjungi,
Saya kira cukup sampai di sini nukilan saya berkenaan intipati manifesto saya untuk pilihanraya kali ini. Saya harap rakan-rakan sekalian ibarat “hanya jauhari yang mengenal manikam”. Ingatlah, pilihan anda pada hari esok bakal menentukan corak kepimpinan mahasiswa fakulti akan datang. Jadikanlah pengalaman calon, latar belakang calon dan manifesto yang mampu untuk direalisasikan sebagai pra-syarat kepada pilihan anda.
Sekian.
Selamat mengundi.
“Menjunjung Aspirasi, Memperkasa Fakulti, Memartabatkan Varsiti..Mahasiswa, Sentiasa Di Hati”
Nukilan,
MOHD AMIRUL ASHRAF BIN MAZLI
CALON MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP)
FAKULTI SAINS PENTADBIRAN DAN PENGAJIAN POLISI
UiTM SHAH ALAM
SESI 2011/2012


